Upin & Ipin
Upin & Ipin ialah tajuk bagi sebuah siri animasi tayangan singkat yang dihasilkan oleh syarikat animasi Les' Copaque di Malaysia, dan juga nama bagi dua watak utama siri ini.
Upin & Ipin merupakan keluaran sampingan bagi filem
Geng: Pengembaraan Bermula yang juga menampilkan watak utama siri animasi tersebut.
Mula-mulanya, Upin & Ipin disiarkan sempena bulan Ramadan pada tahun 2007 Masihi di TV9
(Malaysia), dengan tujuan mendidik anak-anak agar menghayati erti bulan
mulia, kini menjangkaui lima musim dan tidak terhad pada televisyen,
bahkan juga dalam bentuk DVD dan penstriman video melalui Internet. Upin & Ipin juga berjaya dipasarkan di luar negara, khususnya negara jiran Indonesia.
Atas kejayaan menambat hati penonton serantau, Upin & Ipin disenaraikan dalam Malaysia Book of Records sebagai "Animasi Paling Berjaya" pada tahun 2011. Selepas filem Geng, watak Upin & Ipin membintangi sebuah lagi filem cetera berjudul Laksamana Upin & Ipin yang dijangka keluar pada tahun 2013.
Sejarah

Upin dan Ipin asalnya direka sebagai watak sampingan untuk filem
Geng: Pengembaraan Bermula,
oleh Mohd Nizam Abdul Razak, Mohd Safwan Abdul Karim, Muhammad Anas
Abdul Aziz dan Usamah Zaid, para pengasas Les' Copaque. Nizam, Safwan
dan Usamah merupakan siswazah lepasan Universiti Multimedia
yang mula-mulanya bekerja sebagai kakitangan sebuah syarikat animasi
lain sebelum bertemu dengan bekas peniaga minyak dan gas, Haji
Burhanuddin Radzi dan isterinya Hajjah Ainon Ariff pada tahun 2005, lalu
membuka syarikat Les' Copaque.

Nizam percaya bahawa aspek kebudayaan Malaysia yang berlatarkan
kampung yang serba santai pasti menarik minat pasaran antarabangsa.
Hujahnya, siri animasi
Doraemon dari Jepun boleh laris di seluruh dunia meskipun berlatarkan budaya setempat dan bukannya budaya antarabangsa. Apatah lagi, reputasi Les' Copaque sebagai syarikat terkenal mula dibentuk oleh populariti
Upin & Ipin bukan sahaja di Malaysia, malah di beberapa negara lain yang mengimport siri ini khususnya Indonesia.
Proses animasi Upin & Ipin (dan juga filem Geng) menggunakan perisian CGI Autodesk Maya.
Di sebuah sidang media perisian animasi pada tahun 2009, Ketua Pereka
Les' Copaque, Fuad Md. Din memberitahu, "Salah satu tujuan kami memilih
perisian ini kerana ia mudah. Lagi pun kami sudah berpengalaman
menggunakannya sebelum ini."

Musim pertama
Upin & Ipin diterbitkan khusus sempena sambutan Ramadan
pada tahun 2007 untuk mendidik kanak-kanak mengenai erti dan
kepentingan bulan mulia. Kata Safwan, "Kami memulakan siri animasi empat
minit ini untuk menguji penerimaan pasaran tempatan serta mengukur
bagaimana reaksinya kepada kebolehan penceritaan kita."
Sambutan memberangsangkan terhadap siri pendek ini menggalakkan Les'
Copaque agar menerbitkan satu musim lagi yang diisi 12 episod dengan
watak-watak baru, sempena bulan Ramadan dan Aidilfitri pada tahun 2008.
Musim pertama
Upin & Ipin memenangi anugerah Animasi Terbaik di Festival Filem Antarabangsa Kuala Lumpur 2007.

Selepas dua musim yang bertemakan Ramadan dan keislaman, penerbitan
Upin & Ipin beralih kepada penceritaan yang lebih bersifat "sejagat". Ketika ditemubual dalam rancangan wawancara Internet,
The Entrepreneur,
pada tahun 2010, Haji Burhanuddin menjelaskan sebab pihaknya berbuat
demikian, "kandungan bercirikan Islam sukar untuk dijual pasaran Timur
Tengah nampak bagus, tetapi sebenarnya tidak; jika dijual kepada
penyiar satelit, tidak boleh dijual kepada mana-mana pihak lain, apatah
lagi mereka meminta harga yang sangat rendah. Sebab itulah kami mengubah
konsep daripada Islam kepada sejagat." Oleh itu,
Upin & Ipin dan Kawan-kawan
disiarkan sepanjang tahun mulai awal tahun 2009, yang mana episod baru
disiarkan pada musim cuti sekolah atau Ramadan/Aidilfitri, manakala
hari-hari persekolahan hanya ada siaran ulangan. Ini berterusan sehingga
musim keempat pada tahun 2010.
Pada tahun 2009 juga, barulah filem Geng: Pengembaraan Bermula
ditayangkan, untuk menjadi filem tempatan yang paling banyak hasil
kutipan pawagam di Malaysia pada tahun itu. Pada bulan September, Nizam,
Safwan dan Anas meninggalkan Les' Copaque untuk menubuhkan sebuah studio animasi baru, iaitu Animonsta Studios; namun siri animasi Upin & Ipin masih diteruskan di bawah pimpinan Haji Burhanuddin selaku pengarah.
Susulan filem Geng, Les' Copaque mengumumkan filem seterusnya yang dibintangi oleh Upin & Ipin, iaitu Upin & Ipin: Angkasa pada pertengahan tahun 2009. Namun, setahun kemudian, filem Angkasa diumumkan batal dan diganti dengan Laksamana Upin & Ipin yang dijanjikan dalam bentuk filem 3D.
Pada 29 September 2010, kugiran Padi dari Indonesia melancarkan sebuah lagu tema baru untuk Upin & Ipin, bertajuk "Sahabat Selamanya", yang juga ditujukan kepada hubungan antara Malaysia dengan Indonesia yang dikatakan dilanda konflik ketika ini. Video muzik lagu ini yang sudah berkumandang di kaca televisyen Indonesia sejak bulan Ogos menampilkan kugiran tersebut mendendangkan lagu mereka di halaman rumah
Upin dan Ipin, serta babak-babak terpilih dari siri animasi Upin &
Ipin.

Pada Disember 2010, dilaporkan bahawa francais Upin & Ipin
mengumpul pendapatan sebanyak RM 12 juta pada tahun 2009 dan 2010,
kebanyakannya hasil penjualan siri Upin & Ipin kepada penyiar
antarabangsa.
Di tengah musim kelima Upin & Ipin pada tahun 2011, Les' Copaque memperkenalkan rancangan aneka ragam kanak-kanak mingguan, Kelab Upin & Ipin, mulai 4 Jun. Pada musim Ramadan dan Aidilfitri tahun ini, musim terawal Upin & Ipin disiarkan dalam Astro Ceria.
siapa yang tak tahu pasal cerita ni... memang tak tahu la nak cakap apa...kartun ni memang best... sebab kartun sesuaidengan semua lapisan masyarakat...